:
PENGHARGAAN%20EKSEKUTIF



Dr. Nazratun Nafizah A.Husin

( PENGERUSI MTSFAZ ) 

Ibu bapa/ penjaga yang dirahmati Allah,

Penubuhan Maahad Tahfiz Sains Fatimah Az-Zahrah (MTSFAZ) adalah berdasarkan kesedaran, keprihatinan dan tanggungjawab bahawa Pendidikan Islam perlu untuk dipermantapkan lagi dari peringkat akar umbi agar generasi Islam yang mendatang kalis dengan pengaruh serta dugaan dunia akhir zaman yang kian mencabar.

Dengan berpaksikan kepada pendidikan Al-Quranul Karim dan As-Sunnah, MTSFAZ yakin bahawa zaman kegemilangan Islam dapat dicapai semula dan nama baik Islam yang dirobek serta dicaci oleh golongan musuh akan dipatahkan dengan pembuktian bahawa kecemerlangan individu akan terhasil melalui pendidikan yang berteraskan ajaran Nabi kita yang Agung Muhammad S.A.W.

MTSFAZ juga akan mengetengahkan pelbagai pembaharuan dalam dunia pembelajaran anak-anak Islam.  Sistem pendidikan diatur dan dirancang dengan teliti agar pelajar dapat menerima dengan mudah lantas mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.  MTSFAZ memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka dunia melalui dimensi pemikiran yang berbeza daripada kebiasaan dan ini secara tidak langsung mampu menggalakkan kematangan pemikiran dan emosi walaupun pada usia kecil.

Disamping penekanan dalam bidang agama dan akademik, pelajar akan didedahkan dengan silibus yang memuatkan tentang perkembangan sains dan teknologi serta perkembangan sains sosial agar keseimbangan dalam pendidikan IQ, EQ, dan SQ dapat terbentuk.  Justeru, MTSFAZ diyakini mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua aspek dan sekaligus diyakini mampu melahirkan pemimpin Islam yang berjaya dimasa akan datang.  Justeru, penubuhan MTSFAZ adalah satu seruan dan kewajipan yang perlu disahut bersama oleh semua umat Islam agar usaha untuk memartabatkan agama Allah ini mencapai matlamatnya.